KUALA LUMPUR – Celcom Axiata Bhd. meningkatkan peruntukan Internet bagi pelan pascabayar Celcom FIRST, yang tersedia di seluruh negara mulai esok.
Ketua Pegawai Pemasarannya Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata Celcom FIRST Gold dan FIRST Platinum kini sudah dinaik taraf masing-masing kepada 20GB pada RM80 dan 60GB pada RM150, tanpa kos tambahan.
Beliau juga berkata ciri baharu Celcom FIRST, AnydayGB, membolehkan pelanggan menggabungkan peruntukan Internet hari biasa dan hujung minggu pada hanya RM10 sebulan.
“Sebelum ini, pelan Celcom FIRST menyediakan peruntukan Internet yang mencukupi. Namun susulan permintaan untuk ruang Internet yang lebih besar, pelan baharu Celcom FlRST ditambah dan menjadi lebih baik.
“Selain itu, pelanggan yang menggunakan pelan pascabayar semasa dengan Internet mudah alih, akan memperoleh peningkatan data yang ketara bagi pengalaman Internet mudah alih terbaik 4G,” katanya pada taklimat media mengenai penambahbaikan produk itu di sini hari ini.
Pada taklimat itu, Zalman berkata pelan baharu itu yang dikenali sebagai FIRST Gold Plus akan diperkenalkan pada RM98 untuk 40GB, yang tersedia mulai esok sehingga 31 Dis tahun ini.
Beliau berkata pelan itu menampung pelanggan yang mahu memanfaatkan tawaran Internet terbaik daripada pelan Celcom FIRST.
Untuk pelanggan baharu, pelan Celcom FIRST akan tersedia mulai esok, manakala pelanggan Celcom FIRST Gold dan FIRST Platinum sedia ada – Celcom FIRST Gold perniagaan dan FIRST Platinum perniagaan akan menikmati peruntukan baharu Internet itu mulai 1 Nov, tanpa caj tambahan.
Beliau berkata penyedia telekomunikasi itu kini mempunyai asas pelanggan melebihi satu juta bagi Celcom FIRST, dan berharap penambahbaikan itu akan meningkatkan jumlah pelanggannya. – BERNAMA