KUALA NERANG – Golongan muda atau dikenali sebagai ‘Gen Y’ perlu mencetuskan pemikiran yang kritikal dan matang mengenai idea untuk membangunkan negara pada masa depan.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata pada masa sama mereka perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin pelapis yang bertanggungjawab dan meneruskan kesinambungan pembangunan negara.
“Pelapis masa hadapan memerlukan generasi yang mindanya terbuka dan lantang mencetuskan pemikiran yang kritikal bagi terus membangunkan negara agar lebih maju dan terus berdaulat.
“Untuk itu ‘Gen Y’ ini perlu membina keyakinan diri serta menerima perbezaan pendapat dan bukan menegakkan pendapat dirinya sahaja,” katanya ketika berucap pada Program ‘Apa Kata Gen Y’ di sini, hari ini.
Ibrahim berkata, generasi muda juga disaran untuk memberikan sumbangan kepada negara dengan pelbagai cara dan menjadi model peranan kepada generasinya lain.
Selain itu, katanya golongan berkenaan juga perlu memantapkan diri untuk menerapkan nilai perpaduan yang kukuh termasuk melalui sukan, bersama-bersama kaum lain.
“Sukan sebagai contoh terbaik untuk melihat nilai perpaduan ini apabila seluruh negara memberikan sokongan kepada sesiapa sahaja yang bertanding mewakili negara tanpa mengira kaum,” katanya.
Beliau berkata melalui sukan juga, seluruh masyarakat akan berasa bangga menjadi warga Malaysia lebih-lebih lagi ketika meraikan kejayaan pasukan negara, misalnya di Sukan Olimpik dan Paralimpik di Rio De Janeiro, Brazil, misal baru-baru ini.
Forum ‘Apa Kata Gen Y’ berkenaan, turut dianggotai panel terdiri daripada generasi muda yang berjaya dalam bidang masing-masing. – BERNAMA