KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan warga Nepal dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri dua telefon bimbit milik rakan senegaranya.
Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Lokendra Ranamagar, 29, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 17 Ogos lepas.
Lokendra didakwa mencuri telefon bimbit itu yang masing-masing bernilai RM400 milik Lokenra Magar dan Til Bahabur Guring di rumah kongsi, atas pasar raya Chow Kit, di sini, pada 12 tengah hari, 17 Ogos lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, manakala, bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya tertuduh boleh dipenjara dan denda atau sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mohamed memohon hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dihantar pulang ke negaranya. – BERNAMA