KOTA BHARU – Sebuah syarikat hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengendalikan sistem pembetungan persendirian tanpa Lesen Kelas (Pekhidmatan) di sebuah resort di Tok Bali, Pasir Puteh.
Syarikat itu yang diwakili Pengurus Besarnya Hizam Shari Omar mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.
Syarikat Hotel Sentral Management Sdn Bhd didakwa melakukan kesalahan itu di satu alamat di Pantai Bisikan Bayu, Semerak, Pasir Puteh pada 24 Okt 2012.
Ia didakwa mengikut Seksyen 20 (1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang membawa hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak lebih dua bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Syarikat itu diwakili peguam Nik Noor Nazri Nik Soh manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Mohd Helmy Razelan.
Mahkamah menetapkan 28 Nov untuk sebutan semula kes. – BERNAMA