ISLAMABAD – Masihkah anda ingat dengan gadis bermata hijau dari Afghanistan yang gambarnya pernah diabadikan di kulit depan majalah antarabangsa National Geographic pada Jun 1985.
Sharbat Gula yang kini berusia 44 tahun dilaporkan telah ditahan pihak berkuasa di Pakistan semalam kerana cuba menggunakan dokumen pengenalan palsu.
The New York Times melaporkan, Gula ditahan di kediamannya di barat laut bandar Peshawar, Pakistan selepas penyiasatan selamat dua tahun oleh Agensi Penyiasatan Persekutuan Pakistan (FIA).
Penguatkuasa Pendaftaran Pengkalan Data Kebangsaan (NADRA), Shahid Ilyas berkata, pihaknya mengumpul bukti dan pegawai yang terlibat dalam memberikan kad pengenalan Pakistan palsu kepada Gula dan dua anaknya lelakinya.
Katanya, Gula berdepan dengan hukuman penjara tujuh hingga 14 tahun dan denda antara 314,000 rupee (RM12,554) hingga 524,000 rupee (RM20,925) di atas kesalahan memiliki dokumen palsu.
Sebelum ini seramai 2,472 orang asing terutama Afghanistan secara sukarela menyerahkan kad pengenalan yang diperoleh mereka secara haram.
Wajah Gula yang dirakam ketika dia berusia 12 tahun di kem pelarian Pakistan oleh jurugambar Steve McCurry pada 1984 menjadi wajah kulit depan majalah paling popular dalam sejarah penerbitan makalah itu.
Ketika itu, gambar Gula menjadi simbol kepada kemelut peperangan di Afghanistan. – MYNEWSHUB.CC