ARAU – Selain mempunyai kelulusan cemerlang, graduan harus menyiapkan diri dengan kemahiran yang pelbagai serta memiliki daya saing yang tinggi, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah ilmu yang dimiliki di universiti adalah asas bagi jurusan dipelajari dan penguasaan kemahiran perlu seiring dengan ilmu yang dimiliki.
“Pasaran tenaga kerja hari ini turut berubah dan mahukan mereka yang fleksibel serta punyai nilai ‘multitasking’ dalam sektor pekerjaan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada sidang ketiga istiadat konvokesyen ke-11 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Ilmu kampus induk Pauh Putra di sini, hari ini. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin menerima watikah pelantikan semula sebagai Canselor UniMAP buat kali keempat berkuat kuasa 13 Dis ini yang dipersembahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Datuk Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainal Mohamed.
Baginda bertitah graduan yang mempunyai kualiti tersebut tidak mudah tersisih ketika proses pemilihan pekerjaan memandangkan persekitaran kerja kian kompleks dan sering berubah.
“Para majikan dewasa ini cenderung mencari individu yang mampu menyesuaikan diri untuk apa jua keadaan berbanding mereka yang terlalu ‘kaku’ dan sekadar berkemahiran ‘tunggal’.”
Baginda berkenan menyampaikan ijazah kepada 460 orang graduan Sarjana Muda Kejuruteraan dalam jurusan Bahan, Metalurgi, Polimer, Mekatronik, Mekanikal dan Elektronik Bioperubatan. – BERNAMA