RIYADH – McDonald’s Corp dari Amerika Syarikat (AS) bersetuju menjual hak francais restorannya di Singapura dan Malaysia yang dipegang selama 20 tahun kepada Reza Group dari Arab Saudi.
Pengambilalihan mega tersebut bakal melibatkan transaksi bernilai AS$400 juta (kira-kira RM1.65 bilion), menurut sumber industri antarabangsa yang kemudian dipetik oleh pelbagai media di Arab Saudi dan Malaysia.
Reza Food Services Co. Ltd, yang memiliki dan mengendalikan hak francais restoran McDonald’s di wilayah barat dan selatan Arab Saudi dikatakan meminta pihak CIMB Bank di Malaysia untuk membiayai transaksi itu.
Sumber yang enggan dinamakan bagaimanapun mendakwa urus niaga tersebut masih belum lagi boleh diumumkan dan langkah itu selaras dengan rancangan McDonald’s untuk membawa masuk rakan kongsi baharu.
Ia susulan perubahan pelan perniagaan kepada model francais intensif kurang modal di benua Asia. Sumber berkata McDonald’s berminat untuk bekerjasama dengan kumpulan milik keluarga di wilayah berkenaan.
Turut mendapat perhatian ialah taikun tempatan kerana pihak McDonald’s ingin mencari rakan kongsi perniagaan bagi jangka panjang, bukan sekadar pembelian hak francais syarikat tersebut untuk waktu pendek.
Syarat asas kepada perjanjian pertukaran berkenaan dilaporkan sudah dimuktamadkan tetapi urus niaga tersebut dijangka dapat disempurnakan secara rasmi menjelang akhir tahun ini, kata sumber itu lagi.
CIMB bagaimanapun enggan mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, malah tiada respons kenyataan serta-merta yang diperoleh daripada McDonald’s. Pada masa ini, komen daripada pihak Reza juga belum diperoleh.
Sumber berkata CIMB akan menyediakan syarat pinjaman yang banyak untuk menyokong urus niaga berkenaan, serta pembiayaan tersebut hanya akan dibuat dalam mata wang ringgit Malaysia dan dolar Singapura.
Pada Julai lalu, McDonald’s pernah berkata ia mencari rakan kongsi francais untuk restorannya di Malaysia dan Singapura serta sedang berunding dengan beberapa pihak, tetapi tidak memberikan butiran atau tempoh masa.
McDonald’s setakat ini mempunyai kira-kira 260 buah restoran di seluruh Malaysia yang diuruskan secara francais sejak beroperasi pada 1982 lalu manakala 120 premis lagi berada di negara jirannya, Singapura.
Agensi berita Reuters pada bulan lalu melaporkan McDonald’s menerima beberapa bidaan akhir daripada sekurang-kurangnya tiga kumpulan untuk rangkaian outletnya di China dan Hong Kong. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA