BAGAIKAN tiada henti, pemilik nama Faizznur terus menerus mendapat cacian dan makian daripada seluruh rakyat Malaysia.
Ini susulan pendedahan kakak mangsa nahas Lebuhraya DUKE, Yusnida Hussain mendakwa adik bongsunya itu ‘pecah amanah’ wang derma orang ramai terhadap anak-anak mangsa.
Pendedahan tersebut sekali gus mengejutkan orang ramai yang bersimpati dengan nasib anak-anak yatim piatu itu iaitu Amira dan Aqilah.
Sementara itu, seorang sumber yang enggan identitinya didedahkan memberitahu The Reporter.my, sebenarnya ada banyak lagi cerita yang tidak didedahkan.
Lebih mengejutkan, sumber itu mendakwa hasil sumbangan derma kini hanya tinggal kurang RM60,000 daripada jumlah sebenar yang diterima iaitu RM320,000.
“Kisah sebenarnya agak panjang kalau nak dipaparkan. Namun disebabkan perundangan, mereka akan terhad untuk menceritakan segalanya.
“Dalam kes ini, ada dalang yang memberikan nasihat yang salah kepada Faiznur yang masih mentah lagi dalam kehidupan.
“Apa yang jelas ialah penjaga Amira dan Aqilah hanya mendapat RM12,000 sahaja, itupun selepas mendapat perintah dari pihak mahkamah dan tiga akaun milik mereka yang terlibat dibekukan.
“Hasil sumbangan orang ramai sebenarnya adalah RM320,000. Daripada semua jumlah itu, kini tinggal lebih kurang RM60,000,” katanya.
Pada masa yang sama, sumber itu turut meluahkan rasa kecewa apabila dua beradik itu tidak dapat menikmati apa-apa meskipun harta yang ditinggalkan arwah bapanya mencukupi untuk menyara kehidupan Amira dan Aqilah.
Jelas sumber itu lagi, pewaris yang tidak bertanggungjawab itu kini turut berharap harta arwah bapa kanak-kanak ini akan difaraid.
“Begitu juga dengan keluarga di sebelah arwah ibu mereka yang mahu merebut hak penjagaan dari Yusnidah, sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah ambil berat dan melawat.
“Jika mengikut hukum syarak, memang keluarga sebelah arwah ibu ini lebih berhak tetapi mereka tidak menunaikan tanggungjawab.
“Baju raya sepasang pun tak pernah beli. Sejak kes dibawa ke mahkamah, barulah dua tiga kali mereka datang melawat kanak-kanak ini,” tegasnya.
Pada Rabu lalu, Yusnida yang merupakan penjaga Amira dan Aqila membuat sidang media menuntut hak bagi kedua-dua anak yatim piatu tersebut yang dinafikan hak mereka oleh bapa saudara sendiri.
Malah, Yusnida telah membuat laporan polis dan kes itu sedang disiasat oleh pihak Bank Negara Malaysia.
Sementara itu, Faizznur menyifatkan tuduhan kakak keduanya itu sebagai fitnah dan dia akan membawa hal itu ke mahkamah. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: The Reporter.my