LONDON – Walaupun dilanda perang saudara, Iraq merupakan negara paling pemurah di dunia terhadap orang luar yang memerlukan, menurut indeks dermawan global baharu.
Lapan puluh satu peratus rakyat Iraq dilaporkan membantu orang tidak dikenali bulan lalu, dalam tinjauan global yang dipantau Yayasan Bantuan Kebajikan (CAF).
Buat kali pertama sejak CAF memulakan tinjauan pada 2010, lebih separuh rakyat di 140 negara yang mengambil bahagian berkata mereka membantu orang tidak dikenali, dengan kebanyakan yang paling pemurah didapati di negara teruk dilanda bencana atau perang.
Walaupun berhadapan ketidakstabilan dan keganasan, Iraq berada dua kali dalam senarai paling atas dari segi membantu orang tidak dikenali.
Libya, yang juga terbabit dalam konflik dalaman, berada di tempat kedua dalam senarai tahun ini dan Somalia, juga terbabit dalam perang saudara selama 25 tahun, di tempat keempat.
“Saya rasa pengajarannya di sini adalah masyarakat cukup tabah dan bencana berskala besar cenderung mengaktifkan tindak balas kemanusiaan kolektif,” kata pengurus dasar antarabangsa di CAF, Adam Pickering.
Dari segi sumbangan kepada badan kebajikan, Myanmar berada di tempat teratas, dengan sembilan daripada 10 responden berkata mereka pernah membuat sumbangan bulan sebelumnya.
Ia turut mengekalkan kedudukan tahun ketiga berturut-turut di tempat teratas Indeks Sumbangan Dunia, langkah yang menggabungkan responden membantu orang tidak dikenali, menyumbang wang dan menjadi sukarelawan.
Sementara Amerika Syarikat berada di tempat kedua dalam gabungan itu. – Reuters/BH Online