ARAU – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menceburi bidang sukan sebagai kerjaya pada masa depan.
Menurutnya kesedaran ibu bapa terhadap sukan sebagai kerjaya masih berada pada tahap rendah dan pandangan mereka yang mengutamakan akademik dan melihat sukan hanya sesuai sebagai aktiviti sampingan dan sekadar mengisi masa lapang, harus diubah.
“Sukan juga mampu memberi ruang kepada individu untuk menambah pendapatan malah lebih daripada itu. Bagi atlet yang mencapai tahap kemahiran professional, mereka boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya lumayan,” katanya.
Tuanku Syed Faizuddin berkata demikian semasa merasmikan ‘Laman Woodball Kolej Matrikulasi Perlis (KMP) dan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Woodball Tertutup Anjuran KMP 2016 di Dewan Sri Kayangan KMP di sini, petang semalam.
Hadir sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Timbalan Pengarah KMP Mohd Idris Omar dan Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis Zailuddin Ariffin.
Tuanku Syed Faizuddin berkata ibu bapa harus memberi sokongan kepada anak-anak untuk terlibat dalam bidang sukan kerana mereka mungkin berpotensi menjadi seorang atlet, jurulatih atau usahawan dalam bidang sukan. – BERNAMA