KUALA LUMPUR – Jambatan Batang Sadong sepanjang 1.48km telah siap dibina dan memberi manfaat kepada lebih 50,000 penduduk tempatan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata ia merupakan satu daripada banyak lagi pembangunan yang akan terus dilakukan kerajaan di Sarawak bagi rakyat negeri itu.
“Jambatan Batang Sadong sepanjang 1.48 kilometer di Sarawak itu mula dibina pada 2011. Saya membuat tinjauan pada Januari lalu bagi melihat sendiri projek yang saya luluskan,” katanya menerusi catatan di laman Twitter dan Facebooknya, hari ini.
Najib yang melahirkan kegembiraannya dengan siapnya jambatan tersebut turut memuat naik gambar yang diambilnya sewaktu meninjau projek tersebut pada 31 Jan lepas.
Jambatan yang merentasi Sungai Batang Sadong itu merupakan jambatan terpanjang di Sarawak dan telah mula dibina pada Julai 2012 dengan kos RM211.3 juta. – BERNAMA