KLUANG – Kekangan peruntukan pertahanan dalam Bajet 2017 tidak akan menjejaskan 48 projek yang sedang dilaksanakan untuk diteruskan pada tahun hadapan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Katanya beliau lega kerana walaupun peruntukan bagi tahun depan sedikit berkurangan akibat kelembapan ekonomi namun ia tidak menjejaskan projek dan program yang sedang dijalankan.
“Secara keseluruhannya, Kementerian Pertahanan menerima peruntukan RM15.1 bilion yang mana RM11.7 bilion untuk perbelanjaan pengurusan manakala RM3.37 bilion untuk perbelanjaan pembangunan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis kesyukuran meraikan Felda Ulu Penggeli sempena menjadi juara pertandingan Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) Kebangsaan di Dewan Semai Bakti di Felda Ulu Penggeli. Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.
Katanya antara 48 projek itu ialah pembinaan hangar pesawat Nuri Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), projek jalan di bawah Program Jiwa Murni di Sarawak, perolehan kenderaan perisai 4×4, enam unit helikopter MD530G, enam kapal peronda tempur pesisir generasi kedua (SGPV-LCS), empat pesawat Airbus 400M dan perolehan sistem radar SOC 3 dan Infra Kota Samarahan di Sarawak.
“Antara projek-projek yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk refit dua buah kapal selam Scorpene, peningkatan keupayaan pesawat pejuang Hawk, pesawat pengangkut C-130 dan helikopter Nuri,” katanya.
Hishammuddin berkata peruntukan bagi penyelenggaraan dan peningkatan keupayaan aset sedia ada dalam Bajet 2017 bagi memastikan ia dapat diteruskan dengan efektif dan dalam keadaan kesiapsiagaan tinggi.
Pemerolehan enam kapal tempur pesisir, sistem persenjataan Ground Base Air Defence (GBAD), kereta perisai dan kelengkapan teknologi terkini mengikut jadual ditetapkan itu penting untuk memperkukuhkan kesiapsiagaan di Sabah, katanya dan menurutnya begitu juga projek infrastruktur Kem Tentera Darat Esscom di Felda Sahabat dan pembinaan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) di Lahad Datu.
“Menerusi peruntukan sebanyak RM114 juta pada tahun 2017, ATM dapat mengurangkan kos pembinaan dengan mengunakan kepakaran anggota bagi membawa keselesaan dan keselamatan penduduk pedalaman Sarawak,” katanya.
Katanya projek jalan di Sarawak membabitkan jalan Belaga-Nanga Merit; jalan ke Skim Rancangan Sepupuk, Niah di Miri; jalan Ba’kelalan-Bario (Fasa 2), jalan Kuala Medalam-Meruyu serta jalan Kampung Kerangan Ma dan jalan Kampung Ensungei di Limbang.
Bagi projek pembinaan Rumah Rakyat Angkatan Tentera (RKAT), sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada hampir 4,000 keluarga.
Hishammuddin berkata Bajet 2017 turut prihatin terhadap kebajikan veteran tentera menerusi insentif khas berjumlah RM55 juta yang diperluaskan kepad veteran yang meninggal dunia sebelum tahun 2001 melibatkan 3,499 orang. – BERNAMA