JOHOR BAHRU – Kerajaan jelas prihatin terhadap keperluan perumahan untuk rakyat khususnya generasi muda menerusi Bajet 2017 yang dibentangkan baru-baru ini, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kasim.
Beliau berkata sektor perumahan memang memerlukan pelbagai insentif daripada kerajaan dan sebagai pemaju JCorp turut melihat isu pemilikan rumah ini wajar diberi keutamaan dan perhatian serius.
“Menariknya, bajet 2017 ini menampakkan fokus kepada golongan muda untuk membolehkan dan memudahkan mereka memiliki rumah sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perbarisan Briged Waqaf di Komplek Mutiara Johor Land, di sini, hari ini.
Dengan peningkatan penawaran pelbagai jenis rumah termasuk rumah mampu milik dan rumah mesra rakyat, ia akan dapat meringankan beban rakyat sekali gus meleraikan kerunsingan untuk memiliki rumah sendiri, katanya.
Kamaruzzaman berkata JCorp menerusi anak syarikatnya, Johor Land Berhad (JLand) akan terus membina rumah mampu milik untuk kesejahteraan dan keselesan rakyat.
Bagaimanapun, beliau berharap proses pelaksanaan pemilikan rumah dapat dilakukan dengan cepat dan cekap serta ditambah baik lagi.
“Kita sebagai pemaju yang membangunkan rumah mampu milik di negeri ini mendapati masa yang diambil untuk meluluskan permohonan agak lama sebelum pembeli dapat membuat permohonan pinjaman di bank,” katanya.
Justeru itu, katanya, kelulusan harus dilaksanakan dengan cepat bagi mengurangkan jarak pembinaan siap dengan pembelian oleh pembeli yang layak.
Menerusi Bajet 2017, sebanyak 30,000 rumah kos mampu milik bakal disediakan di lokasi strategik selain 5,000 unit rumah mesra rakyat dan 10,000 unit rumah di bandar untuk disewa golongan muda.
Program baharu kerajaan My Beautiful New Home juga akan membolehkan generasi muda untuk memiliki rumah sendiri. – BERNAMA