SUSULANÂ penahanan dua pegawai kanan agensi kerajaan di Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya merampas timbunan barang kemas dan wang tunai RM750,000 daripada tiga peti besi simpanan keselamatan yang dipercayai milik isteri salah sorang suspek.
Sebelum ini, SPRM mendedahkan berjaya merampas lima peti simpanan dan perlu mendapatkan kerjasama daripada pihak bank untuk membuka peti berkenaan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, tiga peti berkenaan adalah dari dua buah bank di Kota Kinabalu dan telah dibuka hari ini.
“Daripada lima peti simpanan yang dirampas, setakat ini hanya tiga yang telah dibuka dan kami menyita barang serta wang tunai dalam peti berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
SPRM Sabah sebelum ini berjaya merampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan iaitu pengarah dan timbalannya selepas didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion sejak enam tahun lalu. – MYNEWSHUB.CC