SUNGAI BULOH – Pelakon Dayana Roza berkata dia enggan lagi berkongsi mengenai kisah percintaannya kepada umum kerana belajar daripada kesilapan lalu.
Dayana atau nama sebenarnya Nur Dayana Kamsun Baharin, 25, berkata, banyak kesan buruk jika dia terlalu terbuka mengenai kisah cinta dan pengalaman sebelum ini seharusnya dijadikan pengajaran.
“Memang saya ada (menjalin hubungan) dengan seseorang sekarang tapi tak payahlah (dedah). Saya tak nak cerita apa-apa lagi sekarang.
“Biarlah kali ini jadi rahsia saja sebab ia hal peribadi. Saya belajar daripada kesilapan sebelum ini jadi saya tak nak cerita banyak lagi,” katanya kepada mStar Online.
Dayana ditemui pada penggambaran telefilem Trauma terbitan JS Pictures Sdn. Bhd. di Kuang di sini, petang Rabu.
Ujarnya, kesilapan dirinya mencanangkan kisah hubungannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Muslim Ahmad sebelum ini memberi impak negatif apabila hubungan itu terlerai pada tahun lalu.
“Bukan kata saya serik untuk berkongsi cuma saya ini perempuan jadi tak elok kalau saya saja yang sibuk buka cerita mengenai hal hubungan.
“Apabila hubungan itu tak menjadi kesannya jadi tak seronok seperti kes sebelum ini. Sama juga macam hubungan sekarang, saya tak tahu apa akan berlaku sama ada dia adalah jodoh saya atau pun tidak.
“Jadi lebih baik saya diam-diam saja selagi tak ada apa-apa perancangan. Kalau betul sampai jodoh dan hendak kahwin barulah saya berkongsi,” katanya.
Beralih pula pada perkembangan kerjaya, Dayana berkata, peluang bekerja semula di bawah produksi pasangan suami isteri, pengarah Azman Yahya (Jinggo) dan Sheila Rusly dalam telefilem Trauma adalah penghargaan besar buatnya.
“Projek telefilem ini memang saya sudah tahu dari awal lagi. Apabila Sis (Sheila) menawarkan watak saya memang hendak buat sebab ceritanya yang menarik dan serasi bekerja bawah produksi mereka.
“Sebab itu walaupun saya masih terikat dengan jadual penggambaran siri Lara Aishah sehingga November depan, saya selitkan juga jadual untuk projek ini.
“Ia seperti reunion buat saya dengan Sis dan abang Jinggo. Lagi pun saya jenis pelakon yang terima saja peluang yang datang tak kiralah watak utama atau pembantu,” katanya.
Selain Dayana, telefilem khas untuk acara Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017 itu turut dibintangi Saharul Ridzwan, Janna Nick, Zara Zya dan Idris Khan.
Ia mengisahkan lima individu yang berkenalan dalam aplikasi sosial, WhatsApp menerusi kumpulan dipanggil Trauma kerana kisah-kisah trauma yang dialami masing-masing sebelum ini.
Pertemuan mereka di sebuah rumah bagaimanapun mengundang kejadian yang tidak diingini. – mStar Online