KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan semua pelajar tajaannya di luar negara akan menerima elaun sara hidup bagi bulan Oktober 2016 hingga Januari 2017 pada esok atau  selewat-lewatnya pada 11 Oktober 2016.
KPT dalam satu kenyataan media memberitahu, pembayaran elaun sara hidup melibatkan 1,167 pelajar itu bagaimanapun bergantung kepada proses transaksi bank-bank tempatan di luar negara.
“KPT juga ingin memaklumkan bahawa proses kelewatan pembayaran ini disebabkan oleh beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan,” kata kenyataan itu hari ini.
Media tempatan baru-baru ini melaporkan pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) tajaan KPT merungut apabila dimaklumkan tentang kelewatan pembayaran elaun sara hidup yang seharusnya diterima bulan ini.
Seorang pelajar PhD di United Kingdom (UK) yang enggan dikenali berkata, ia menjadikan kumpulan pelajar itu terpaksa menanggung denda kelewatan pembayaran pelbagai bil utiliti di luar negara. – Mynewshub.cc