KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ ) menyifatkan kumpulan yang mengganggu konvoi anti kerajaan Bersih 5 sebagai golongan yang tidak bertamadun dan tidak waras.
NUJ dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan kumpulan itu mengganggu petugas media yang membuat liputan Konvoi Bersih 5 memalukan Malaysia yang mengamalkan demokrasi.
Tegas NUJ, Perlembagaan Negara membenarkan rakyat negara ini berhimpun secara aman.
“NUJ mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kumpulan anti Bersih yang mengganggu tugas media yang membuat liputan Konvoi Bersih 5 di Kuala Selangor semalam.
“NUJ juga menyifatkan ia satu tindakan cukup memalukan kerana ada golongan seperti ini masih wujud dalam negara ini,” kata kenyataan itu hari ini.
Dua wakil media termasuk media pro pembangkang semalam didakwa diganggu oleh kumpulan anti Bersih 5 sewaktu membuat liputan besar-besaran mengenai kempen Bersih 5.
Bersih 5 merupakan sebuah kempen untuk memburuk-burukkan kerajaan dan memenangkan parti pembangkang yang berselindung disebalik alasan keadilan dan hak kebebasan rakyat.
Kumpulan itu dipercayai sebahagian kecil daripada anggota Baju Merah yang mahu menghalang rancangan licik Bersih 5.
Justeru, NUJ berharap pihak polis menahan ketua kumpulan yang menentang Bersih 5 dan membawa mereka ke muka pengadilan demi keharmonian rakyat Malaysia.
NUJ Malaysia akan membuat laporan polis ke atas kumpulan anti Bersih tersebut. – MYNEWSHUB.CC