PAISLEYÂ Morrison-Johnson yang dilahirkan dengan saiz lidah seperti orang dewasa akibat keadaan genetik, akhirnya dapat tersenyum comel selepas dua pembedahan dijalankan.
Bayi berusia 16 bulan itu dilahirkan dengan sindrom Beckwith Wiedemann (BWS) iaitu sindrom yang hanya berlaku dalam satu bagi 14,000 kelahiran.
Keadaan berkenaan mengakibatkan lidah Paisley membesar dua kali ganda dari saiz mulutnya, menyebabkan dia sukar untuk menyusu. Selain itu doktor juga bimbang ia bakal menyebabkan saluran pernafasannya tertutup.
Susulan keadaan luar biasa itu, Paisley, dari Aberdeen di South Dakota, terpaksa diberi makan melalui tiub.
Melihat keadaan Paisley itu, ibu bapanya, Madison Kienow, 21, dan Shannon Morrison-Johnson, 23, bersetuju untuk bayi mereka menjalani pembedahan dengan memotong sebahagian lidah tersebut.
Namun selepas pembedahan pertama, lidah Paisley masih membesar dan terjulur keluar dari mulutnya dan keadaan ini memaksa pembedahan kedua dijalankan.
Selepas enam bulan berlalu, Paisley, kini mampu tersenyum dan cuba meniru bunyi-bunyian yang didengarnya.
“Ketika dilahirkan, saiz lidah anak saya sama seperti saiz lidah dewasa dan ia sering terjulur keluar. Doktor memaklumkan anak saya mempunyai lidah paling besar yang pernah mereka saksikan dan dia juga terpaksa dimasukkan ke dalam incubator selama tiga hari,’’ kata ibunya yang juga pelajar perubatan.
Ibu bapa Paisley kini gembira kerana anak mereka mampu tersenyum dan tidak lagi berdepan dengan kesukaran untuk makan malah dia juga seperti bayi normal yang lain.
Tanpa pembedahan itu, ibu bapanya menyedari anak mereka menjadi bahan renungan ramai dan ada juga yang memberikan komen sinis serta menghiris hati. – MYNEWSHUB.CC