PASIR SALAK – Tiga keluarga di Kampung Matang Jambu, Degong dekat sini yang terlibat dengan kebakaran Khamis lalu akan diberi bantuan bagi membina semula kediaman mereka yang musnah.
Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman hari ini berjanji akan memberi bantuan segera kepada keluarga terbabit bagi meringankan beban dan memberi sinar baharu dalam kehidupan mereka.
Komitmen itu dijanjikan Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani semasa melawat keluarga berkenaan hari ini.
Seorang mangsa yang ditemui, Shahidah Yusof, 50, bersyukur kerana ada pihak yang dapat memberi sinar baharu dalam kehidupan mereka sekeluarga yang kini menumpang di rumah saudara.
“Sebelum ini saya sekeluarga resah memikirkan cara untuk membina balik rumah. Bantuan yang diterima ini diharapkan sudah tentu dapat meringankan beban kami untuk kami bina kembali rumah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, suaminya Mat Salleh Maidin, 53, berkata kerugian yang dialami dianggar mencecah RM80,000 kerana van serta peralatan audio sistem untuk sewaan bagi majlis perkahwinan turut musnah dalam kebakaran itu. – BERNAMA