YAN – Kedah bakal mempunyai satu lagi ikon pelancongan dengan wujudnya sebuah Masjid Terapung di daerah ini yang menelan kos RM15 juta dan dijangka siap menjelang 2018.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, masjid di atas tanah berkeluasan 2.19 hektar itu akan turut melengkapkan landskap Yan sebagai daerah pelancongan.
“Masjid ini dijangka dapat memuatkan 1,021 jemaah pada satu-satu masa dan akan menjadi bangunan ikon serta masjid pertama di negeri ini yang dibina di atas permukaan laut, hanya menggunakan tiang tanpa penambakan laut,” katanya.
Beliau bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Pecah Tanah Tapak masjid itu di sini, hari ini.
Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan menyempurnakan majlis perasmian pecah tanah masjid berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
“Pembinaan masjid mengambil kira struktur bangunan yang berupaya menahan tekanan ombak, bagaimanapun pada masa hadapan kita akan memikirkan untuk membina tembok lagun untuk mengekalkan air di kawasan bawah masjid khususnya ketika air surut, memandangkan kawasan pantai Yan adalah berlumpur.
“Kita menerapkan konsep moden namun dalam masa sama mengekalkan ciri-ciri tradisional masjid dan senibina Islam, bahkan masjid juga mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan turut menyediakan laluan khas untuk OKU, selain anjung tinjau” katanya.
Ruang solat utama terletak pada jarak kira-kira 40 meter dari darat. – BERNAMA