ALOR SETAR – Markas Tentera Darat mengesahkan mayat dijumpai Pasukan Khas Laut (Paskal) kira-kira 30 meter dari Pulau Perak 10.40 pagi tadi, merupakan seorang daripada anggota tentera yang hilang sejak Isnin lepas di pulau itu, Koperal Mohd Faizol Rosli.
Pengesahan dibuat setelah pengecaman dilakukan melalui baju biru dan seluar dipakai mangsa pada kali terakhir dia bertugas.
“Mayat telah dinaikkan ke KD Mahawangsa pada 11.44 pagi tadi, kemudian dihantar ke Pangkalan Udara Butterworth menggunakan pesawat Fennecx,” menurut kenyataan itu.
Mayat kemudiannya akan dibawa ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang untuk bedah siasat dan dijangka akan dikebumikan di Kupang, Baling petang ini.
Pencarian seorang lagi mangsa yang turut hilang di pulau itu, masih diteruskan.
Dalam kejadian jam 4.40 petang pada Isnin, Koperal Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Koperal Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau di Pulai, Baling, hilang selepas terjatuh ke laut ketika sedang mengambil air.
Kedua-dua mereka dari Batalion ke-4 Rejimen Renjer Diraja (4RRD) berpangkalan di Kem Oran, Perlis masing-masing ditugaskan di Pulau Perak sejak sebulan lepas. -BERNAMA