KUALA PERLIS – Mayat remaja lelaki mangsa bot karam di perairan Kuala Sanglang-Kuala Perlis semalam, dijumpai 10.10 pagi ini tidak jauh dari tempat kejadian.
Abdul Shakair Abdul Rahman, 18, ditemukan terdampar kira-kira 6 batu nautika dari pesisir pantai berkenaan iaitu 2.2 batu nautika ke hadapan Muara Kuala Sanglang oleh Bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Ketua Polis Daerah Kangar, DSP Wari Kiew berkata mangsa berasal dari Kampung Mengkuang Layar, Utan Aji turun ke laut menangkap ikan dan udang bersama seorang rakan sebelum dihanyutkan air setelah bot dinaiki karam dipukul ombak besar.
Rakan mangsa, Muhamad Izwan Hamdan, 28, bagaimanapun berjaya diselamatkan nelayan selepas setengah jam dia berpaut pada bot yang terbalik itu.
Katanya, sebaik menerima laporan kejadian itu, pihak berkuasa telah menubuhkan pasukan khas mencari dan menyelamat (SAR) sejak pagi semalam yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Polis Marin dan Persatuan Nelayan Kuala Sungai Baru.
“Operasi SAR dilakukan dengan teknik Ă¢â‚¬Ëœsurface searchingĂ¢â‚¬â„¢ di sepanjang persisir pantai sehingga ke Kuala Sungai Baru kerana bot tidak dapat diturunkan memandangkan keadaan air laut surut,” katanya.
Wari bercakap kepada pemberita selepas mayat mangsa yang dibawa ke JetiKastam Kuala Perlis disahkan oleh ibunya Sharifah Md Arof, 58, yang ditemani abang mangsa, Mohd Shahir Abdul Rahman, 21.
Wari berkata kes diklasifikasi sebagai kejadian mati mengejut, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk tindakan lanjut. – BERNAMA