KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, beberapa jenis mesin permainan yang terdapat di pasar raya termasuk di Giant Kangar di Perlis haram dimainkan oleh umat Islam kerana berunsur perjudian.
Kata beliau, mesin itu termasuk dalam maisir iaitu perjudian kerana pemain perlu bertaruh meletakkan wang dan jika menang mendapat mainan atau barangan yang dipamerkan dalam mesin berkenaan.
“Jika gagal, mereka akan kerugian wang dan wang diperolehi tauke mesin berkenaan. Ini sebenarnya adalah maisir (judi) iaitu pertaruhan yang salah pihak akan untung dan satu pihak lagi akan kerugian
“Ia diharamkan oleh Allah dan Rasul. Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 90: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya,” katanya dalam Facebook hari ini.
Justeru, kata Mohd. Asri, penduduk negeri Perlis khususnya beragama Islam diminta tidak bermain atau terlibat dalam operasi mesin permainan itu kerana ia termasuk dalam dosa besar.
Katanya, umat Islam juga tidak boleh membantu menguruskan mesin perjudian seperti itu kerana ia termasuk dalam memakan harta secara batil.
“Di sudut yang lain, ia satu penipuan dan pembulian ke atas pengguna yang kurang cerdik yang akn menjadi mangsa mesin-mesin perjudian seperti ini,” katanya.
Mohd. Asri turut memuat naik gambar mesin permainan yang beliau maksudkan di Giant Kangar di laman Facebook. – Mynewshub.cc