PETALING JAYA – Pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) yakin mampu julang Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tahun ini.
Presidennya, Datuk T. Mohan percaya bahawa barisan skuad itu telah bersedia dan berada dalam keadaan baik untuk melakar kemenangan ke atas kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) pada aksi final pada 20 dan 27 Okt ini.
“Saya yakin kami mampu menang Piala FAM, walaupun misi utama MISC-MIFA adalah untuk menyediakan platform untuk pemain muda mempamerkan prestasi dan kemampuan mereka di saingan liga tempatan supaya dapat membina masa depan dalam sukan bola sepak.
“Saya cukup kagum dengan prestasi mereka yang bekerja keras untuk layak ke final walaupun kami merupakan sebuah pasukan dengan bajet yang begitu kecil,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
MISC-MIFA mara ke final selepas menewaskan Air Asia Allstars FC dengan agregat 2-1 pada pusingan separuh akhir, sekali gus meraih satu daripada dua slot ke Liga Perdana musim 2017 selepas mula beraksi di Piala FAM sejak 2014, manakala PKNP FC mengatasi Felcra FC dengan agregat 3-2.
Final Piala FAM akan diadakan mengikut format timbal balik dengan final pertama berlangsung di Stadium Shah Alam pada Khamis ini disusuli aksi kedua di Stadium Perak, Ipoh, pada 27 Okt ini.
Ditanya mengenai imbuhan yang bakal diterima oleh para pemain, Mohan berkata ia akan diputuskan oleh pengurus pasukan selepas perlawanan akhir nanti.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan untuk membawa masuk pemain import untuk mengharungi saingan Liga Perdana 2017, kerana ia merupakan faktor psikologi yang dapat membina keyakinan pemain.
Sementara itu, jurulatih pasukan, Jacob Joseph, yang turut yakin untuk meraih gelaran itu, tidak mahu memandang mudah kemampuan PKNP FC yang menewaskan naib juara Kumpulan A, Felcra FC.
“Kita perlu mempunyai strategi yang baik untuk menang,” katanya.
Beliau turut mengakui terpaksa membentuk kembali skuadnya bagi saingan Liga Perdana musim depan kerana beberapa pemain utamanya telah menerima tawaran yang lebih lumayan daripada pasukan lain. – BERNAMA