KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengeluarkan amaran fenomena angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan di seluruh negara mulai esok.
Menterinya, Datuk Seri Madius Tangau berkata, kawaasan terlibat adalah perairan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang serta Barat Daya bagi perairan Sarawak di Rejang, Mukah, Bintulu dan Miri.
Katanya, amaran itu turut dikeluarkan bagi perairan Sabah di Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan serta Labuan.
“angin kencang dan laut bergelora adalah dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak besar mencapai sehingga 3.5 meter dijangka berlaku sehingga 19 Oktober 2016,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Madius berkata, pada masa sama, kejadian air pasang besar yang signifikan juga berlaku di kawasan perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Menurut beliau, situasi itu akan mendedahkan kawasan tersebut kepada kenaikan paras air laut.
Justeru, katanya, penduduk terutama di kawasan pantai terlibat diminta supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa.
“Maklumat terkini boleh diperoleh melalui laman web Jabatan Meteorologi Malaysia – www.met.gov.my, aplikasi mobil – myCuaca, facebook: malaysiamet, twitter: @malaysianmet atau MetMalaysia Hotline di talian 1 300 22 1MET (1638),” katanya. – mynewshub.cc