KUALA LUMPUR – Agensi Angkasa Negara (Angkasa) memenangi Pertandingan Aplikasi Satelit Navigasi Eropah 2016 di Circulo De Bellas Artes De Madrid, Sepanyol baru-baru ini.
Angkasa dalam satu kenyataan media berkara, agensi dibawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI ) itu memenangi pertandingan tersebut melalui produk penyelidikannya iaitu MOSTI Track Autism.
Lebih menarik, menurut Ketua Pengarah Angkasa yang juga ketua penyelidik projek itu, Dr. Noordin Ahmad, Angkasa bekerjasama dengan pusat PERMATA Kurnia untuk menguji prototaip sistem itu.
“Produk ini telah menerima anugerah khas ‘BELS Special Prize’ dalam pertandingan yang dianjurkan oleh ‘European Commission’, ‘European Space Agency’ dan ‘European GNSS Agency’.
“Sebagai ganjarannya, Angkasa menerima tawaran untuk menjalani program inkubasi di Eropah selama enam bulan untuk menyiapkan produk itu supaya boleh dikomersilkan di pasaran.
“Semua kos perbelanjaan akan ditanggung oleh pihak penganjur sepanjang program,” kata kenyataan itu hari ini.
MOSTI Track Autism adalah sistem yang dibangunkan menggunakan teknologi navigasi satelit dan diintegrasikan dengan teknologi komunikasi mudah alih.
Melalui sistem itu, kanak-kanak autisme dipakaikan dengan alat pengesanan satelit navigasi GPS berbentuk jam tangan dan ibu bapa dapat mengesan lokasi kedudukannya pada setiap masa dengan hanya melalui aplikasi pada telefon pintar.
Menerusi aplikasi itu juga, ibu bapa turut boleh menentukan zon kawasan maya serta tempoh waktu untuk aktiviti harian tertentu bagi kanak-kanak autisme.
Satu notifikasi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dihantar kepada ibu bapa sekiranya kanak-kanak tidak berada di dalam zon kawasan maya yang ditetapkan.
“Ini dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan terhadap kanak-kanak autisme, dan juga tekanan dan kerisauan ibu bapa,” kata kenyataan itu lagi. – MYNEWSHUB.CC