KOTA BHARU – Meskipun ajaran Islam menggalakkan pasangan suami isteri menunjukkan kasih sayang antara satu sama lain, namun ia perlu berlandaskan adab yang dianjurkan agama.
Itulah nasihat Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, setelah timbul isu gambar-gambar mesra dua pasangan selebriti tanah air yang dimuat naik ke laman Instagram masing-masing, lapor laman Astro Awani.
Beliau merujuk penyebaran luas foto pasangan Rozita Che Wan dengan Zain Saidin selain Awal Ashaari dengan Scha Al-Yahya berkongsikan momen indah mereka bercumbu mesra secara terbuka di khalayak ramai baru-baru ini.
Pendedahan berani dua pasangan itu mencetuskan heboh dalam kalangan warga siber setelah selebriti tersebut memuat naik gambar ke laman media sosial dan ada menyifatkan perbuatan romantis itu sebagai tidak sesuai.
Baca: Awal Ditegur Kongsi Gambar Cium Scha Di IG
Juga: Lepas Awal, Che Ta Pula Kongsi Gambar Cium Di IG
Mengulas dengan lebih lanjut, Mohamad Shukri turut memberikan contoh pasangan suami isteri memang tidak dilarang jika hendak bermesra di dalam rumah atau di tempat-tempat yang tertutup daripada pandangan.
Beliau seperti yang ditukil oleh Astro Awani memberitahu bahawa agama Islam menganjurkan amalan-amalan beradab bagi setiap perbuatan, tidak mengira aspek apa sekalipun waima melibatkan pasangan suami isteri.
Mohamad Shukri menambah bahawa perbuatan sedemikian boleh membawa kepada perkara-perkara negatif termasuk fitnah walaupun niat asal mereka mungkin baik untuk mempromosikan kasih sayang sesama pasangan.
“Akhlak seseorang dalam Islam tidak diizinkan untuk bercumbu-cumbuan di tempat awam. Jika ingin bermesra, ada tempat tertutup dan ia tidak perlu dipertontonkan kepada umum, ” ujar beliau. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA