SEREMBAN – Negeri Sembilan berazam merampas Piala Agong apabila berdepan Perak pada perlawanan pembukaan tirai Kejohanan Piala Emas Raja-Raja edisi ke-76 pada tahun ini, yang akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, pada 15 Oktober ini.
Penolong Pengurus, Abdul Rafi Abdul Murad berkata ini kerana menjadi hasrat Negeri Sembilan untuk membawa pulang Piala Agong pada tahun ini setelah menjuarai Piala Emas Raja-Raja tahun lepas.
“Memenangi Piala Agong menjadi sasaran kita pada tahun ini dan dalam masa yang sama kita juga berharap dapat mempertahankan kejuaraan Piala Emas Raja-Raja bagi melengkapkan kemenangan yang diidamkan.
“Piala Agong ini adalah piala idaman kita kerana inilah kali pertama kita layak bersaing untuk merebut piala tersebut. Kita menaruh harapan tinggi untuk memenanginya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Perlawanan merebut Piala Agong 2016 adalah antara Negeri Sembilan yang merupakan juara Piala Emas Raja-Raja 2015 dan Perak, juara Piala Agong 2015.
Mengulas lanjut, Abdul Rafi berkata Negeri Sembilan telah membuat persediaan rapi dalam membentuk sebuah pasukan bola sepak yang mantap.
Katanya pasukan Negeri Sembilan kali ini dibarisi pemain berpengalaman dan beliau yakin pasukannya memiliki kelebihan berbanding Perak pada perlawanan itu, terutama beraksi di gelanggang sendiri.
“Kita bermain di tempat sendiri, jadi saya berharap penyokong Negeri Sembilan akan hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada pasukan. Walaupun saya difahamkan Perak akan membariskan ramai pemain muda, tetapi saya yakin Negeri Sembilan mempunyai kelebihan.
Kita telah mengenal pasti 20 pemain dan kebanyakan mereka terdiri daripada pemain yang menjuarai Piala Emas Raja-Raja pada tahun lepas. Kita juga mengekalkan jurulatih tahun lepas, Abd Halim Sulaiman,” katanya. – BERNAMA