KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak kagum dengan keberanian aktivis kemanusiaan Malaysia, Dr. Fauziah Mohd. Hassan yang sanggup menempuh bahaya demi misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.
Perdana Menteri juga melahirkan rasa syukur kerana Dr. Fauziah telah selamat kembali ke tanah air malam ini, setelah dibebaskan berikutan kumpulannya, Women Boat’s to Gaza (WBG), ditahan oleh tentera Israel pada Rabu lepas.
“Kagum dengan keberanian Dr. Fauziah Hassan, hadapi bahaya bagi bantu mereka di Gaza. Alhamdulillah kini beliau selamat kembali ke Malaysia. Moga dirahmati,” kata Najib melalui akaun Twitternya @NajibRazak, hari ini.
Dr. Fauziah ditahan oleh tentera rejim Israel pada Rabu lepas, bersama-sama 10 anggota misi WBG yang lain semasa menaiki kapal Zaytouna-Oliva menuju ke Gaza.
Kapal misi kemanusiaan anjuran Freedom Flotilla Coalition itu kemudiannya ditunda ke Pelabuhan Ashdod. – BERNAMA