KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah di atas kemangkatan adinda Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Almarhum Sultan Abu Bakar, Tengku Hajah Faridah, semalam.
Tengku Faridah, 70, meninggal dunia akibat kanser pangkal rahim.
“Merafak sembah takziah kepada keluarga Y.A.M. Tengku dan kerabat Diraja Pahang.
“Semoga roh dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” kata Najib dalam catatan terbaharunya di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Menurut Portal Diraja Pahang, Tengku Faridah meninggal dunia di Hospital Gleaneagles di Jalan Ampang di sini pada 10.05 pagi semalam.
Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang di sini selepas solat Zohor semalam. – BERNAMA