ISLAMABAD – Pihak berkuasa kawal selia media Pakistan memutuskan untuk menguatkuasakan larangan sepenuhnya ke atas kandungan televisyen dan radio dari India bermula Jumaat.
Badan itu juga memberi amaran lesen pihak yang didapati bersalah melanggar pengharaman itu akan digantung.
Pihak Berkuasa Kawal Selia Media Elektronik Pakistan (PEMRA) memutuskan untuk mengharamkan penyiaran kandungan India bermula 21 Oktober berikutan permintaan kerajaan persekutuan. ”
Larangan itu akan berkuat kuasa pada jam 3 petang waktu tempatan pada 21 Oktober, dan stesen radio dan televisyen yang melanggar larangan akan digantung lesen tanpa diberikan notis tunjuk sebab lebih awal,” kata PEMRA dalam satu kenyataan.
Larangan dilanjutkan kepada semua kandungan India di radio dan kabel yang disiarkan di Pakistan.
Pihak berkuasa juga memutuskan untuk membatalkan hak penyiaran satu pihak yang diberikan kepada media India oleh kerajaan pimpinan bekas Presiden Pervez Musharraf pada 2006.
PEMRA sudah memutuskan untuk bertindak tegas dengan kandungan dari India selepas aduan kebanyakan saluran tempatan menggunakan lebih lima peratus kandungan dari luar seperti dibenarkan.
Pihak penyelia, pada 31 Ogos lalu berkata tindakan tegas akan diambil terhadap saluran yang menyiarkan kandungan luar lebih daripada had dibenarkan.
Keputusan dilaksanakan sejak 16 Oktober apabila PEMRA melancarkan operasi membanteras saluran yang menggunakan kandungan luar secara haram.
Ketegangan semakin memuncak antara India dan Pakistan sejak serangan terhadap pangkalan tentera India di Uri pada 18 September lalu. – Agensi/BH ONLINE