SEORANG anggota polis dari Jabatan Antidadah Balikpapan, Indonesia menggunakan pendekatan kreatif dalam usaha menyampaikan mesej tentang bahaya dadah kepada masyarakat negaranya.
Jeffri Dian Juniarta mendapat inspirasi daripada lagu yang menjadi siulan ramai di Internet iaitu Pen Pineapple Apple Pen (PPAP) dipopularkan DJ Piko-Taro, watak fiksyen yang dimainkan penyanyi Jepun, Kazuhiko Kosaka.
Menerusi video yang tersebar, Jeffri dilihat menari dalam pakaian seragamnya dan menukar lirik asal lagu tersebut kepada mesej yang cuba disampaikan yang berbunyi seperti berikut.
” I have ais cendol, I have a beer, ahh ais cendol.
” I have gorengan, I have narkoba, ahh gorengan.
“Ais cendol…Gorengan ahhh Kenyang.”
Lirik yang digubahnya itu mengajak masyarakat untuk memilih ais cendol berbanding minuman keras dan memilih gorengan berbanding dadah.
Ini kerana dadah dan minuman keras, kedua-duanya banyak mendatangkan keburukan dan kemudaratan kepada masyarakat setempat.
Menurut Jeffri kepada sebuah laman berita tempatan, kes dadah di negaranya sangat kritikal dan cukup membimbangkan banyak pihak.
“Pengedaran dadah di kepulauan Kalimantan Timur adalah yang kedua terbesar selepas Samarinda.
“Dan rata-rata tahanan yang berada di dalam penjara adalah golongan yang terlibat dengan kes dadah,” jelasnya.
Video yang tersebar telah ditonton hampir 5 ribu kali oleh warganya sejak dimuat naik di laman sosial. – MYNEWSHUB.CC