MELAKA – Beberapa anggota Pergerakan Wanita UMNO dikesan mengganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) namun langkah mereka tidak sama sekali menggugat kestabilan dan keutuhan sayap itu.
Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata ahli yang sedia ada tetap menunjukkan semangat solidariti dalam memberi sokongan kepada kepimpinan presiden UMNO dan perjuangan parti.
Justeru, katanya, anggota sayap itu tidak seharusnya tergugat dengan kewujudan parti baharu itu dalam arena politik tempatan kerana ia tidak akan bertahan lama disebabkan dasar dan niat parti itu yang tidak jelas.
“Apa yang paling mustahak Wanita mesti memperkukuhkan pejuangan parti…suka atau tidak suka apa yang diperkatakan pembangkang, rakyat tahu bahawa sekian lama Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO telah membangunkan negara dan nasib rakyat terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Marhaban Pergerakan Wanita UMNO, di sini, hari ini.
Mengenai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016, Shahrizat berkata PAU akan menjadi benteng bagi pergerakan berkenaan untuk terus mempertahankan dan berdiri kukuh di belakang UMNO dan BN yang sering ditohmah dan difitnah pembangkang.
Katanya mereka telah merancang pelbagai program melibatkan anggota pergerakan itu termasuk kaum wanita di luar parti dan badan bukan kerajaan sempena perhimpunan itu yang dijadual dari 29 November hingga 3 Disember ini.
Pada program itu, peserta Pulau Pinang, Maimunah Awang muncul johan kategori tilawah, naib johan Siti Aminah Abdullah dari Johor dan Che Ruhani Mohd Fathil (Kelantan).
Bagi kategori marhaban pula, johan ialah kumpulan Nur Qasih Al-Zahra dari Kedah, Ummul Mukminin dari Pahang (naib johan) dan Marhaban Nur Laila (Melaka).
Majlis tilawah Al-Quran berkenaan disertai 13 negeri manakala pertandingan marhaban disertai 12 negeri dengan jumlah penyertaan seramai 158 yang terdiri daripada anggota UMNO dari seluruh negara. – BERNAMA