KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kedai dijatuhkan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengendalikan harta pengganas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhi hukuman itu terhadap Mohamed Danny Mohamed Jedi, 29, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 19 Mei lepas.
Dalam keputusannya, Ab Karim berkata kesalahan berkaitan dengan kumpulan pengganas yang dilakukan secara langsung atau tidak langsung, jelas dianggap suatu kesalahan yang serius dan perlu dielakkan.
“Kamu telah membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun bank kamu kepada seorang pengganas iaitu adik kandung kamu yang mana kamu ketahui dia juga merupakan seorang pelopor utama yang merekrut warga Malaysia sebagai pengganas di Syria sejak tahun 2015.
Elemen ini merupakan kesalahan serius bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia kerana ianya boleh menjejaskan kedamaian di sesebuah negara,” katanya sambil menjelaskan mahkamah turut mengambil kira kepentingan awam sebelum menjatuhi hukuman terhadap tertuduh.
Mohamed Danny yang berasal dari Melaka didakwa dengan pengetahuan telah mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas yang bernama Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, 26, dengan cara membenarkan kemasukan wang sebanyak RM13,130 dan pengeluaran wang sebanyak RM10,000 daripada akaun Maybanknya bagi memberi manfaat kepada pengganas berkenaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Ayer Keroh, G-6, Lebuh Ayer Keroh, Hotel King, Ayer Keroh di sini antara 28 Jan dan 5 Mac lepas, mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta terbabit.
Berdasarkan fakta kes, keterangan menunjukkan bahawa Mohamed Danny telah menerima arahan dari adiknya, Muhammad Wanndy melalui aplikasi WhatsApp untuk menerima kemasukan wang ke dalam akaun Maybanknya dan dengan upah antara RM100 dan RM300 bagi setiap transaksi.
Wang itu akan dihantar kepada beberapa individu yang berada di negara Iraq.
Siasatan polis ke atas seorang saksi mengesahkan bahawa dua transaksi wang yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank tertuduh pada 3 Mac dan 5 Mac adalah atas arahan Muhammad Wanndy bagi tujuan infaq (pemberian) untuk kegunaan peribadi dan kumpulan pengganas berkenaan.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara yang berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan itu serius selain memberi pengajaran kepada orang awam.
Peguam Azlan Abd Roni yang mewakili Mohamed Danny merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh menanggung isterinya yang tidak bekerja dan seorang anaknya yang masih kecil.
Azlan berkata anak guamnya turut menyesal dan insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Pada 15 Jun lalu, Mohamed Danny didakwa di Mahkamah Majistret Melaka atas pertuduhan itu.
Tertuduh kemudian dibawa ke penjara Sungai Udang, Melaka. – BERNAMA