KLANG – Penduduk di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, rata-rata sudah bersedia bagi menghadapi fenomena air pasang yang dijangka melanda kampung berkenaan pada hujung minggu ini.
Abdul Kahar Soraji, 49, berkata beliau telah melakukan semua persediaan awal sejak minggu lepas apabila berita mengenai air pasang besar bakal berlaku sekali lagi di kawasan itu.
“Semua barangan dan dokumen penting telah diletakkan di tempat yang lebih tinggi dan saya juga akan memasang penghalang di bawah pintu bagi menyekat air laut dari masuk dengan banyak,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Pada Jumaat lepas, Jawatankuasa Bencana Selangor melaporkan air pasang besar dijangka berlaku pada 16 hingga 19 Okt ini dengan kenaikan paras air dijangka setinggi 5.6 hingga 5.7 meter menyebabkan beberapa kawasan di pesisir pantai berisiko banjir dan akan ditenggelami air.
Seorang lagi penduduk, Jariah Md Saleh, 64, pula menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kerja-kerja membaiki benteng yang dakwanya lambat dijalankan.
“Hari ini baru dapat lihat beberapa lori dan jentera berat melakukan kerja-kerja,” katanya.
Wanita itu berkata, ketika kejadian air pasang pada bulan lalu, rumahnya dinaiki air sehingga dua kaki dan beberapa peralatan elektrik rosak dan kali ini sebagai persiapan beliau telah memindahkan barang-barang penting ke tempat tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Tok Muda, Masfangi Ahmad ketika ditanya mengenai aduan kelewatan kerja-kerja membaiki benteng berkata, kerja membaiki benteng melibatkan pelbagai prosedur dan peraturan.
Mengulas persiapan menghadapi air pasang besar, beliau berkata pihaknya dan agensi yang terlibat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan telah menyenaraikan kira-kira 50 keluarga untuk dipindahkan lebih awal.
“Semua mereka akan dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda secepat mungkin pada Jumaat ini,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di kampung berkenaan mendapati kerja-kerja meninggikan benteng sedang giat dijalankan dengan lori-lori yang penuh dengan muatan tanah dilihat keluar masuk di kampung berkenaan. – BERNAMA