GEORGE TOWN – Lebih daripada 10 projek perumahan yang sedang dibangunkan di kawasan Tanjung Bungah, tetapi yang sedihnya tiada di antaranya mampu dibeli penduduk tempatan.
Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah Teh Yee Cheu berkata, beberapa projek perumahan kos sederhana rendah telah ditukar menjadi perumahan mampu milik.
“Projek rumah-rumah mampu milik di kawasan itu bernilai RM350,000 ke atas. Bagaimana orang tempatan hendak membeli rumah-rumah di sini? Ia terlalu mahal.
Kami hanya mampu melihat rumah-rumah tersebut, tetapi tidak memilikinya,” katanya.
Terkini, projek mampu milik tunggal di kawasan itu ialah Gratino oleh BSG di Jalan Lembah Permai bersebelahan Kolej Tengku Abdul Rahman (TARC) yang berharga RM400,000 ke atas.
Projek perumahan lain yang akan datang seperti Mira Residence, berharga sekitar RM957,000 dan ke atas.
“Saya harap pihak kerajaan negeri tidak akan memansuhkan projek perumahan kos sederhana murah dan menjadikannya kepada perumahan mampu milik kerana ramai yang tidak mampu membelinya nanti,” katanya.
Menurut Teh, perkembangan ini telah menyebabkan ramai penduduk Tanjung Bungah berpindah ke kawasan lain.
Seorang penduduk di situ, Tan Kok Lim, 56, yang menetap di Tanjung Bungah selama hampir 20 tahun berkata, beliau terkejut melihat pembangunan yang berlaku di kawasan itu.
“Dahulu Tanjung Bungah tempat yang aman dan mampu untuk tinggal. Sekarang, ia semakin sesak dan semakin mahal bagi penduduk tempatan,” katanya.
Sementara itu, Teh juga menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan semua projek di lereng bukit kerana ia bukan sahaja merosakkan alam sekitar, malah berbahaya kepada pengguna jalan.
“Tanjung Bungah ialah kawasan berbukit dan bukit-bukitnya dipotong melebihi paras yang dibenarkan, sangat berbahaya. Kerajaan negeri perlu melihat semula perkara ini,” ujarnya. – BERNAMA