KUALA LUMPUR – Seorang pengarah urusan di sebuah syarikat pengendali program latihan hari ini dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan kursus kepimpinan berjumlah RM78,000.
Teoh Phaik Ean, 41, Pengarah Urusan Smart Solutions Training Sdn. Bhd., mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.
Teoh didakwa mengemukakan tuntutan palsu melibatkan empat yuran kursus termasuk ‘Leadership Starts With Me’ dan ‘Personal Effectiveness’, berjumlah RM78,000 antara 3 Disember hingga 23 Disember 2014, sedangkan kursus itu tidak pernah dikendalikan.
Dia mengemukakan tuntutan palsu itu kepada tiga orang kerani di Unit Tuntutan, Bahagian Kewangan Pembangunan Sumber Manusia Berhad di Wisma Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Jalan Beringin, Bukit Damansara, pada 31 Disember 2014 dan 1 Januari 2015.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Syakimah Ibrahim menawarkan wang jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Jacky Loi, mewakili Teoh memohon supaya jumlah jaminan itu dikurangkan kerana anak guamnya telah memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan dan tiada kemungkinan untuk dia melarikan diri.
“Anak guam saya yang mempunyai pendapatan RM6,500 sebulan hanya mampu membayar jaminan antara RM20,000 hingga RM25,000 kerana dia ibu tunggal, perlu menyara dua anak remajanya yang masih bersekolah,” kata peguam itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 15 November sebutan untuk serahan dokumen. – BERNAMA