REZEKI… Seorang lelaki berusia 64 tahun yang hanya mengemis di sekitar Jakarta Selatan berjaya menyimpan 90 juta rupiah (RM29,000) hasil daripada mengemis sejak enam tahun lalu.
The Jakarta Post melaporkan, Muklis yang berasal dari Padang, wilayah Sumatera Barat ditahan di bawah jalan raya bertingkat di Kebayoran Lama, Jakarta ketika sedang mengemis.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Jakarta Selatan, Indonesia, Mursidin berkata, wang berkenaan ditemui dalam seluar Muklis yang tersusun rapi dalam beberapa bungkusan.
Ketika disoal siasat, Muklis mengakui wang berkenaan adalah hasil daripada mengemis sejak enam tahun lalu.
“Muklis mengakui setiap wang yang diterimanya daripada orang ramai ditukarkan dengan bank,” katanya.
Bagaimanapun, Muklis mengakui wang berkenaan tidak mencukupi bagi membolehkan dia pulang ke kampung asalnya kerana dia masih kekurangan 60 juta rupiah (RM19,000).
Mursidin berkata, pihaknya tidak merancang untuk menahan atau mendakwa Muklis sebaliknya ditahan seketika untuk menjalani pemulihan sebelum dihantar ke Padang.
“Ini sebagai pengajaran orang ramai di Jakarta supaya tidak mudah simpati dengan peminta sedekeh,” katanya.
Menurutnya, sudah banyak kes seperti ini dibongkar kerana mereka ini mengambil jalan mudah untuk mendapat wang. – MYNEWSHUB.CC