SINGAPURA – Seorang penyelam mati selepas disengat ikan pari di akuarium Underwater World Singapore (UWS), di Sentosa di sini menurut pemilik pusat itu, hari ini.
Ketika kejadian semalam, Philip Chan, 62, ketua penyelam UWS sedang menyiapkan kerja pemindahan haiwan itu ke akuarium lain apabila dia mengalami kecederaan.
Baca: Underwater World Singapore Ditutup Selama-lamanya
Mangsa yang disengat di bahagian dada, dikejarkan ke sebuah hospital berdekatan dan disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.
“Ini adalah kemalangan yang tragis,” kata Haw Par Corporation, pemilik UWS dalam satu kenyataan.
UWS ditutup kepada orang ramai sejak Jun lalu. Chan adalah antara petugas yang bekerja di akuarium itu sejak ia dibuka pada 1991.
Beliau adalah salah seorang daripada 10 pekerja penjaga haiwan sementara hingga mereka mendapati kediaman yang sesuai ditemui.
Haw Par berkata, mereka menggantung program pemindahan haiwan dan membantu pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Kebanyakan ikan pari hidup di kawasan perairan tropika.
Mereka lazimnya mempunyai lebih daripada satu sengat di bahagian ekor yang digunakan untuk mempertahankan diri daripada musuh.
Pencinta haiwan, Steve Irwin yang juga dikenali sebagai ‘Crocodile Hunter‘ meninggal dunia pada 2006 selepas beberapa kali disengat ikan pari di kawasan perairan Great Barrier Reef, Australia. – Reuters