MAHKAMAH Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini mengekalkan perintah membekukan tiga akaun bank milik dua adik-beradik mangsa nahas insiden di Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE), Mei tahun lalu.
Sebuah portal media melaporkan, keputusan berkenaan dibuat Hakim Nassir Abdul Aziz yang menolak permohonan Hamlizar Husain dan Muhammad Faizznur Asyraf Husain untuk mengetepikan perintah berkenaan.
Hakim mengekalkan perintah tersebut agar Hamlizar, 44, dan Faizznur, 26, dilarang melakukan sebarang transaksi dari akaun mereka sehingga siasatan polis selesai dan kes itu diputuskan.
Menurutnya, pengurusan Maybank Berhad perlu memberi kerjasama dengan membekalkan dokumen berkaitan transaksi sumbangan melalui tiga akaun bank tersebut.
Kakak mereka, Yusnida yang merupakan responden, turut diperintahkan untuk melantik akauntan bertauliah bagi meneliti jumlah sebenar dan transaksi pemberian sumbangan orang ramai kepada dua adik beradik, Nur Firuza Amira; 8, dan Nur Firuza Aqila; 4.
Laporan berkenaan hendaklah difailkan di mahkamah sekurang-kurangnya 2 hari sebelum prosiding perbicaraan kes induk nafkah didengar pada 28 dan 29 November ini.
Yusnidah diwakili peguam Mahyuddin Md Zahari, manakala Hamlizar dan Faizznur diwakili peguam Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar.
Pada 19 Mei lalu, Yusnida berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk membekukan akaun milik dua adiknya itu.
Namun, dua bulan kemudian iaitu pada 19 Julai lalu, Hamlizar dan Faizznur pula memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah tersebut.
Selasa lalu, Yusnida mendedahkan adik bongsunya, Faizznur pecah amanah selepas gagal menyerahkan wang sumbangan orang ramai kepada Amira dan Aqila yang didakwa berjumlah RM300,000.
Yusnidah turut mendakwa adik-beradiknya enggan menyerahkan wang sumbangan itu atas alasan wang itu hak mereka kerana akaun bank peribadi atas nama mereka. – MYNEWSHUB.CC