KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan untuk membaik pulih Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar semalam.
“Kerja-kerja baik pulih hanya akan dimulakan selepas siasatan pasukan Bomba dan Penyelamat lengkap dan bangunan diisytiharkan selamat,” kata Perdana menteri dalam catatan di laman Twitter dan Facebooknya petang ini.
Dalam catatannya yang lebih awal hari ini, Najib melahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak dan agensi yang menyumbang tenaga dalam usaha menyelamat di HSA, semalam.
Ia termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, doktor, jururawat dan kakitangan hospital serta sukarelawan.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi semalam, enam pesakit maut apabila wad Unit Rawatan Rapi di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA terbakar, manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan.
Tiga kakitangan hospital itu cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail. – BERNAMA