TELUK INTAN – Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah di Perak diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir akibat fenomena air pasang besar yang dijangka melanda kira-kira dua minggu lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata persedian itu penting bagi memastikan penduduk terjejas dapat dipindahkan ke pusat pemindahan banjir secepat mungkin.
Katanya pusat pemindahan banjir juga perlu dibuka lebih awal untuk mengelak keadaan kelam-kabut yang akhirnya menyukarkan akhirnya pemindahan mangsa.
“Saya juga meminta penduduk yang terlibat supaya beri kerjasama dan mendengar arahan pasukan penyelamat jika mereka diarah berpindah lebih awal demi keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Wang Khairat Kematian di bawah Skim Tabaruk di sini hari ini.
Selain itu, Zainol Fadzi meminta jawatankuasa berkenaan agar menjadikan pengalaman pada bulan lepas sebagai ikhtibar lebih-lebih lagi fenomena air pasang besar kali ini diramal lebih teruk.
“Berdasarkan jadual pasang surut air laut, paras air dijangka naik sehingga 3.4 meter bagi pada 16 hingga 18 Oktober ini agak tinggi berbanding 3.3 meter semasa fenomena pada bulan lalu,” katanya.
Selain itu, Zainol Fadzi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Manik meminta jawatankuasa terlibat agar memberi taklimat dan makluman awal kepada ketua kampung serta penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Perak.
“Saya juga mencadangkan supaya ditampal notis seperti di masjid, surau mahupun tempat tumpuan awam supaya mereka lebih peka sekali gus menyediakan dokumen penting lebih awal untuk diselamatkan jika berlaku banjir,” katanya. – BERNAMA