GARA-GARA nama menu ‘Pretzel Dog’, rangkaian pretzel popular, Auntie Anne’s dilaporkan masih belum mendapat pengesahan sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).
Baca: Auntie Anne’s Tiada Sijil Halal Jakim?
Hal ini dijelaskan oleh seorang Eksekutif Halal Auntie Anne’s Malaysia, Farhatul Kamilah menerusi laman Facebooknya.
Menurutnya, pihaknya telah memohon sijil halal bagi kesemua 45 outlet Auntie Anne’s di bawah satu permohonan, namun Jakim telah menolak permohanan tersebut.
“Nama menu ‘Pretzel Dog’ haruslah ditukar kepada nama yang lebih sesuai. Saya telah mencadangkan beberapa nama baru dan masih menunggu keputusan mesyuarat panel dari pihak Jakim.
“Setelah kami mendapat keputusannya, kami harus menukar kesemua menuboard sebelum meneruskan kepada permohonan baharu.
“Ingin saya tegaskan, Auntie Anne’s BUKAN pemegang sijil halal Jakim tetapi kami sedang BERUSAHA kearah itu.
“Jakim mempunyai standard yang sangat tinggi yang harus diikuti oleh semua pemegang sijil halal Jakim.
“Pihak Jakim bukan hanya memfokuskan kepada status halal bahan makanan, tetapi juga kebersihan outlet dan pengendali makanan. Saya juga seorang Muslim dan ini adalah salah satu tanggungjawab fardhu kifayah saya untuk umat Islam. Doakan saya berjaya.
“Bagi yang was-was tapi mahu juga mencuba pretzel Auntie Anne’s, saya cadangkan anda menunggu sehingga kami disahkan halal terlebih dahulu kerana perkara yang syubhah sudah jatuh haram untuk kita memakannya. Jika Auntie Anne’s sudah disahkan halal oleh Jakim, saya cadangkan anda beli Éclair Stix dan Jalapeno Cheese, kerana kedua-duanya favourite saya,” tulisnya lagi.
Kenyataan Farhatul itu adalah sebagai penjelasan berhubung viral mengenai status halal Auntie Anne’s seperti mana viral, baru-baru ini. – MYNEWSHUB.CC