RATUSAN rakyat negara Thailand resah menunggu di hadapan bangunan Hospital Siriraj di Bangkok hari ini, beserta doa yang tidak putus-putus meniti di bibir mereka agar Raja Bhumibol Adulyadej, 88, yang sedang gering akan kembali sihat seperti sediakala.
Negara Gajah Putih itu telah dikejutkan dengan berita bahawa Bhumibol ‘masih dalam keadaan tidak stabil’ dalam pengumuman rasmi yang dibuat Rabu, semalam.
Menurut pasukan perubatan raja tersebut, terdapat masalah pada bahagian buah pinggang baginda, di mana baginda telahpun menjalani rawatan dialisis, dan hatinya juga tidak berfungsi secara normal.
Rakyat Thai telah memulakan upacara vigil atau berjaga untuk berdoa agar raja kesayangan mereka itu kembali sihat sejak Ahad lalu, apabila pihak istana mengumumkan bahawa kesihatan baginda semakin meruncing.
Sayangnya rakyat kepada baginda, hingga rata-rata yang hadir ke upacara itu memakai baju berwarna merah jambu yang dinasihatkan oleh ahli nujum istana sebagai rona yang akan memberi kesejahteraan kepadanya.
Pada usia yang kini menginjak hampir seabad, Bhumibol merupakan pemegang takhta paling lama memerintah dalam sejarah Thai, iaitu selama 70 tahun sejak koronasi pada tahun 1946.
Baginda begitu signifikan terhadap kehidupan rakyat Thai hinggakan majoriti rakyat negara itu pasti mempunyai kenangan manis bersama baginda sepanjang pemerintahannya.
“Saya berada di kawasan banjir besar yang melanda Bangkok 20 tahun lalu,” cerita Naree Puangsombat, 70.
“Pada masa itu, baginda sendiri mencemar duli memantau keadaan banjir dan membantu untuk menyelesaikan masalah tersebut. Saya telah banyak mendengar tentang kebaikan baginda sejak saya kecil lagi. Baginda selalu menziarahi rakyat miskin yang tinggal di pedalaman  untuk membantu mereka.”
Damrongsak Sattabut, 20, seorang pelajar universiti tempatan turut menceritakan bagaimana dia begitu teruja dengan gambar-gambar Bhumibol yang sering menghiasi setiap kediaman atau pusat perniagaan di Thailand.
“Semasa kecil, saya terlihat gambar dan arca baginda di rumah saya. Saya bertanya kepada ibubapa saya, ‘Siapakah lelaki ini?’ dan mereka jawab, ‘Baginda ialah raja kita, dan baginda merupakan lelaki yang hebat’.”
“Jika saya ada satu permintaan, saya mahu Raja Bhumibol untuk kembali sihat,” kata Sattabut.
Sementara itu, rakyat Thai telah menukar gambar profail Facebook mereka dengan gambar nama mereka beserta ayat ‘Sayangkan Raja’ atau ‘Daulat Tuanku’ dengan dihiasi corak hati berwarna kuning berlatarbelakangkan warna merah jambu.
Ini kerana, warna kuning melambangkan warna rasmi keluarga DiRaja dan juga warna tradisional bagi hari Isnin dalam kepercayaan Thai, yang merupakan hari lahir Bhumibol. -Â MYNEWSHUB.CC