Meraikan tahun keenam bersiaran, TV AlHijrah muncul dengan tagline terkini #RapatkanSaf yang dimeriahkan menerusi penganjuran konsert terbesar dalam sejarah industri penyiaran negara.
#RapatkanSaf dijadikan tema konsert muzikal Islami yang dipancarkan serentak 9 malam Ahad lalu, ke 7.4 juta isi rumah di seluruh negara melalui TV AlHijrah, TV9, RTM 1, Astro Oasis, Bernama TV, Hypp TV dan Radio Ikim.
“Kami akan melangkah jauh bermula dengan sejarah 2 Oktober itu. Ia 1 Muharam 1438,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Izelan Basar.
Menurut Izelan, #RapatkanSaf menjadi tema komitmen TV AlHijrah selepas berjaya mendokong tema-tema sebelumnya #SegalanyaBermulaDiSini dan #IslamIsFirstClass.
“Ia bukan semata-mata konsert hiburan. Ia iltizam praktikal kami untuk menjadi stesyen yang mempromosi agenda perpaduan ummah melalui pengaruh kuasa media penyiaran,” katanya.
Izelan berkata demikian ketika dihubungi di Ankara, Turki kerana menghadiri jemputan lawatan media oleh Presiden Turki, Raccep Tayyip Erdogan.
“Kami merancang lebih banyak kerjasama serantau antara Malaysia, Indonesia dan Singapura,” kata Izelan.
Terkini katanya, sebuah NGO Islam di Singapura sudah menyatakan minat untuk berkolaborasi dengan TV AlHijrah untuk meluaskan jenama #RapatkanSaf di negara itu.
“Kami sedang mengusahakan sesuatu. Insyaalah dalam masa terdekat, ada berita kerjasama yang besar dengan komuniti Islam Singapura,” katanya.
Konsert #RapatkanSaf diadakan di ABS Studio, aset produksi terkini TV AlHijrah di Cyberjaya, Selangor
Antara artis utama yang dijemput ialah Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, Datuk Ramli Sarip, Opick, Mawi, Syamsul Yusuf, Altimet, Awie Rafael dan Tomok. -MYNEWSHUB.CC