KUALA PERLIS – Seorang remaja dilapor dihanyutkan air setelah bot yang dinaikinya bersama seorang rakan karam di pukul ombak besar di perairan Kuala Sanglang di sini awal pagi tadi.
Abdul Shakair Abdul Rahman, 18, dari Kampung Mengkuang Layar, Utan Aji dikatakan pertama kali turun ke laut bersama rakannya itu kerana selama ini dia hanya menangkap udang di kawasan darat.
Rakannya Muhamad Izwan Hamdan, 28, diselamatkan nelayan selepas setengah jam dia berpaut pada bot yang terbalik itu.
Menceritakan detik cemas berkenaan, dia berkata mereka turun ke laut untuk menangkap ikan pada tengah malam, namun bot mereka terbalik setelah dipukul ombak besar.
“Masa itu kami sudah hampir dua jam berada di laut. Mula-mula bot kami dimasuki air bila ombak pukul. Masa kami timba air dalam bot, datang pula ombak besar yang lain hingga menyebabkan bot kami terbalik.
“Kami tenggelam dalam air dan kaki saya tersangkut pada tali. Bila saya timbul semula, saya nampak Shakair sudah jauh hanyut di bawa air. Saya cuba berenang ke arahnya, tetapi dia semakin jauh ke tengah laut,” katanya.
Muhamad Izwan berkata dia diselamatkan nelayan bot lain yang melihat cahaya lampu yang digunakannya untuk mendapat pertolongan.
Dia selamat dibawa ke darat pada pukul 5 pagi dan memaklumkan kejadian itu kepada pihak penyelamat.
Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Kangar, Zaharul Amin Ahmad berkata pasukan penyelamat yang disertai pelbagai agensi sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang.
“Keadaan adalah sukar kerana laut bergelora dan air laut sudah mula pasang,” katanya dan menambah kawasan pencarian meliputi sejauh enam kilometer. – BERNAMA