PELAWAK Saiful Apek memberitahu dia dapat menggalakkan dirinya lebih dekat kepada Islam selepas kerap kali dijemput berceramah dalam forum agama di surau dan masjid sekitar ibu kota.
Saiful atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 47, berkata, perkara tersebut secara tidak langsung memberinya peluang untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.
“Sejak dua bulan kebelakangan ini saya sering diundang untuk menjadi ahli panel forum agama di masjid-masjid dan surau di sekitar Kuala Lumpur.
“Mereka minta saya berkongsi tentang kehidupan saya sebagai anak seni, tanggungjawab sebagai bapa dan macam-macam lagi.
“Alhamdulillah mungkin juga ada sebab saya dapat peluang itu, sedikit sebanyak saya belajar banyak tentang ilmu agama,” ujarnya kepada mStar Online.
Saiful ditemui pada majlis memperkenalkan peserta program Lawak Solo yang diadakan di The Apartment, Suria KLCC, di ibu negara pada Rabu.
Dalam pada itu, pelakon filem Cicak Man ini berkata, dia sudah lama mempunyai niat untuk berubah ke arah tersebut, namun lebih mengambil pendekatan secara perlahan-lahan.
“Saya memang ingin mendalami tentang agama Islam, tapi kalau boleh saya tidak mahu melakukannya terlalu drastik.
“Saya buat perlahan-lahan dan Insya-Allah, sekurang-kurangnya jika saya beri ceramah di masjid dapat juga menarik orang lain untuk datang dan berminat turut sama mendalami agama Islam,” ujarnya.
Selain itu, Saiful berkata, dia kini banyak melakukan sesuatu yang baharu dalam kehidupannya termasuklah mendapat tawaran membawakan watak antagonis.
Dia juga terlibat dalam filem KL Vampire dan Ajib Is Back sebagai watak penjahat.
“Sampai satu tahap saya rasa dah puas melakukan semua benda yang sama sahaja, sebab itu pada usia ini saya ingin cuba sesuatu yang baharu.
“Selain menghadiri forum agama, saya juga bersyukur diberi peluang membawakan watak-watak antagonis yang pernah saya idamkan suatu masa dulu,” ujarnya.
Saiful bakal menjadi juri dalam program realiti Lawak Solo yang bersiaran setiap Jumaat, bermula 21 Oktober ini, pukul 10 malam di Astro Warna (Saluran 132). – mStar Online