POLIS mendapat enam hari perintah reman dari mahkamah bagi menjalankan siasatan terhadap seorang remaja berumur 17 tahun selepas samun dua pelajar kolej di Ara Damansara, awal Oktober lalu.
Ketua Polis Serdang, ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, remaja lelaki yang berasal dari Petaling Jaya itu ditahan di sebuah pangsapuri di Bandar Kinrara Puchong, kira-kira 10 pagi semalam.
Menurutnya, suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan rompakan bersenjata membabitkan dua pelajar kolej yang berjaya dirakam kamera litar tertutup di tempat kejadian.
Katanya, suspek didapati positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau di Serdang.
Dalam kejadian 4 Oktober lalu, suspek yang memandu kereta jenis Honda Civic mengekori kereta mangsa sebelum menyerang menggunakan parang.
Suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan kenderaanya selepas dikejar polis di Desa Mentari, Petaling Jaya.
Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami kecederaan dan hanya kerugian wang tunai RM1,000Â serta sebuah telefon bimbit.
Kejadian berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (cctv) dan menjadi viral di media sosial baru-baru ini. – MYNEWSHUB.CC