JOHOR BAHRU – Ibarat sudah basah, ditimpa kehujanan pula. Begitulah nasib dialami petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila dilanda masalah berganda dalam tempoh sehari.
Pada sebelah pagi, petugas di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini gempar dengan tragedi kebakaran tidak dijangka yang mengakibatkan enam pesakit terkorban selain ramai dilaporkan cedera akibat terhidu asap tebal.
Namun pada sebelah petang pula, sebuah klinik kesihatan di Mahmoodiah kira-kira lima kilometer dari HSA yang menempatkan sementara waktu ramai pesakit hospital tersebut dilanda banjir kilat dan terputus bekalan elektrik.
Perkara berkenaan turut disiarkan menerusi laman rasmi Facebook KKM lewat petang yang memaparkan foto suasana klinik tersebut bergelap dengan lantai digenangi air akibat limpahan banjir kilat di ibu negeri Johor itu.
Turut disiarkan ialah gambar menunjukkan beberapa petugas KKM yang masih lagi sanggup bekerja meskipun dalam keadaan agak gelap gelita ekoran gangguan bekalan tenaga elektrik di klinik kesihatan tersebut.
Laman sosial kementerian itu turut memberi kata-kata semangat kepada petugas berkenaan yang dirujuk sebagai wira tidak berdendang selain mengandungi slogan KKM iaitu ‘Penyayang Profesionalisme Kerja Berpasukan’.
Posting berkenaan mendapat lebih 2,700 perkongsian dan hampir 9,000 tanda sokongan daripada netizen dengan kira-kira 500 komen yang meluahkan perasaan simpati selain memberi semangat kepada petugas terlibat.
Susulan insiden kebakaran di HSA, Hospital Sultan Ismail yang terletak kira-kira 20 kilometer dari HSA selain beberapa buah klinik KKM sekitar Daerah Johor Bahru terpaksa menampung buat sementara ramai pesakit.
Dalam pada itu, hujan lebat berterusan di sekitar Johor Bahru menyaksikan banyak kawasan rendah tiba-tiba banjir kilat akibat dinaiki air pasang besar dan ada jalan tidak boleh dilalui kenderaan ringan. – Mynewshub.cc/HAA