KUALA LUMPUR – Perkhidmatan sistem pengkomputeran mySIKAP di kaunter urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengalami gangguan bermula pukul 8 pagi ini.
JPJ dalam satu kenyataan media berkata, gangguan capaian sisten itu disebabkan oleh masalah teknikal dan keselamatan.
“Usaha baik pulih sedang giat dijalankan dan kesulitan ini dijangka dapat diatasi selewat-lewatnya esok.
“Sepanjang tempoh tersebut, sebarang urusan transaksi perkhidmatan JPJ akan mengalami gangguan di semua kaunter JPJ seluruh negara termasuk secara atas talian,” kata kenyataan itu hari ini.
Jelas JPJ, urusan transaksi JPJ di semua Pejabat Pos, myEG dan rakan niaga yang lain juga turut terjejas.
“Sebarang kesulitan yang timbul ekoran masalah ini amat dikesali,” kata kenyataan itu.
Untuk rekod, sistem mySIKAP yang diperkenalkan JPJ pada tahun 2013 kerap mengalami gangguan menyebabkan kesukaran kepada orang ramai untuk berurusan dengan jabatan itu. – MYNEWSHUB.CC